URL:http://penselpena.blogspot.jenispencemaranbahasa.com
selasa-4/1/11
Bahasa rojak
Bahasa rojak, menurut Kamus Dewan sendiri membawa maksud, bahasa percakapan yang bercampur aduk. Sedar atau tidak, masyarakat di Malaysia sendiri memandang benteng akan penggunaan bahasa rojak kerana ia seperti sudah menjadi satu identiti, atau gaya percakapan yang lebih bersifat Malaysia. Kenapa begitu? Kerana Malaysia sendiri yang terdiri daripada negara yang berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang bahasa. Penggunaan bahasa yang bercampur ini merupakan hasil daripada percantuman kaum-kaum di Malaysia sendiri.Bayangkan dialog seperti ini,
“Apek, wa dah cakap sama lu maa. Wa takmau itu barang, apa pasat lu kasi tapau juga?”Ataupun begini,”aney, kasi angkat ini meja la. Saya mau duduk tengok. Bawak sini roti sama teh tarik.”
Dialog percakapan di atas kelihatan sudah biasa di kehidupan seharian. Inilah contoh bahasa rojak yang umum tidak langsung menyedarinya. Dialog pertama, percampuran antara dialek percakapan bangsa Cina dalam bahasa Melayu. Perkataan Apek, Wa, Lu tiada dalam bahasa Melayu. Malah penggunaan tatabahasa yang lintang-pukang seperti ‘itu barang’ yang sepatutnya, ‘barang itu’.
Dialog yang kedua, percampuran bahasa Melayu dengan dialek kaum India di Malaysia. Perkataan Aney bukanlah satu perkataan Melayu. Malahan, susunan kata ‘kasi angkat ini meja’ sepatutnya menjadi ‘tolong angkat meja ini’. ‘Bawak sini roti sama teh tarik’ sepatutnya ‘bawakan saya roti dan teh tarik’. Namun, umum sudah lali dengan penggunaan yang bercampur baur ini.
Bahasa SMS
Bahasa SMS, satu bahasa atau gaya yang masyarakat gunakan dalam menghantar mesej ringkas kepada seorang yang lain. SMS atau nama lainnya, “Short Messaging System” atau Sistem Pesanan Ringkas, merupakan satu kaedah komunikasi yang lebih canggih dan lebih digemari oleh golongan muda. Ini kerana ia lebih mudah, lebih cepat dan lebih bersifat mesra pengguna.
Maharam Mamat (2009), dalam blognya menulis, bahawa bahasa SMS adalah satu bahasa kod, di mana ia sama seperti kod BRAILLE untuk orang cacat penglihatan dan dan kod MORSE untuk telegraf. Maka, kod SMS adalah untuk komunikasi tulisan melalui telefon bimbit.
Menurutnya lagi, terdapat 10 kategori bahasa SMS, iaitu:
-1) Lazim atau perkataan yang telah diterima pakai dalam dokumen atau penulisan rasmi serta dirakamkan dalam kamus. Contohnya, sungai menjadi sg, kampong menjadi kg.
2) Pengguguran huruf vokal dalam perkataan, samaada sukukata awal atau akhir, serta huruf konsonan. Sebagai contoh, makan menjadi mkn, sekolah menjadi skola.
3) Akronim, atau perkataan yang dipendekkan dengan mengambil huruf awal atau sukukata awal dan digabungkan menjadi perkataan. Contohnya, UKM iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia atau MAIS iaitu Majlis Agama Islam Selangor.
4) Gabungan sukukata beberapa perkataan yang digabungkan seperti pawagam yang dijadikan singkat daripada perkataan asalnya panggung wayang gambar.
5) Perkataan kata ganda yang didapati dalam bahasa SMS seperti kadang-kadang menjadi kdg2, sama-sama menjadi sma2.
6) Perkataan yang berdasarkan kepada kolokial, iaitu ejaan dan bunyi yang lazimnya digunakan dalam bahasa lisan seperti ambil menjadi amek, mereka menjadi dorang, naik menjadi nek.
7) Perkataan melampau yang dieja dengan gaya tersendiri seperti kerja menjadi kejer, gila menjadi gilew.
8) Singkatan yang diMelayukan seperti babai yang pasa asalnya adalah bye-bye, ‘aku kol ko later’ yang sepatutnya ‘aku telefon kau nanti’.
9) Perkataan yang membawa makna baru dalam bahasa komunikasi tidak rasmi seperti ‘ohh bapak terer’.
10) Perkataan yang menggunakan simbol yang menggambarkan bunyi dan perasaan seperti muahh untuk mencium, waa untuk menangis, hmmm..untuk berfikir. Bahasa SMS memang memudahkan penggunanya dalam berkomunikasi namun, apabila telah disalahgunakan, ia boleh memudaratkan dan merosakkan.
“Broken language”“Broken Language” sebenarnya merupakan satu istilah pada asalnya “Broken English”. Ia merujuk kepada kesalahan tatabahasa dalam bahasa Inggeris dan penggunaan bahasa Inggeris yang tidak formal masyarakat bukan Inggeris. Malah, Shakespeare sendiri pernah menggunakan istilah “Broken English” yang dipetik dalam perkataannya, “ Breake thy mind to me in broken English “.
Akira Nambara juga menyatakan dalam International Herald Tribune, bahawa, “English is the international language. Or, I should say, broken English is the international language” yang membawa maksud penggunaan “Broken Language” yang bersifat universal, di mana-mana sahaja (2008).
Menurut pendapat seorang lagi penulis di Internet, Harvey Milk, “Broken Language” merupakan satu bahasa percakapan yang diguna tanpa mempunyai semua perkataan yang diperlukan untuk membentuk sepotong ayat. Namun, tidak bermakna tanpa perkataan-perkataan yang hilang ini, ayat tersebut tidak boleh difahami (2008). Jadi, penggunaan bahasa ini dalam alam siber adalah semakin ketara. Seperti contoh ayat di bawah.
“I like guy store. He cute.”
Ayat di atas sepatutnya menjadi :
“I like that guy from the store. He is cute.”
“Go buy something. Eat. ”
Ayat boleh menjadi lebih baik sekiranya :
“You have to go and buy something to eat.”
Penggunaan “Broken English” dalam kalangan masyarakat Malaysia menjadi semakin berleluasa dan kadang kala dianggap aneh sekiranya ayat yang betul dari segi tatabahasa digunakan dalam kehidupan seharian.
Bahasa lucah
Bahasa lucah juga merupakan salah satu pencemaran bahasa di alam siber yang sering digunakan oleh pengguna alam maya. Penggunaan bahasa ini boleh membuatkan seseorang berasa segan dan malu untuk membaca sesuatu penulisan samaada di blog dan di laman sosial.Ini boleh menunjukkan bahawa penggunaan bahasa lucah ini semakin berleluasa digunakan di alam siber ini.
Antara perkataan bahasa lucah yang sering digunakan adalah “Pantat ko” , “Wakluu”, “Kasi potong itu telor!” dan sebagainya. Terasa malu untuk menyebutnya bukan? Jadi penggunaan bahasa lucah ini perlu disekat agar ia tidak akan mempengaruhi generasi muda untuk menggunakan bahasa ini sebagai salah satu bahasa komunikasi di alam siber.
Istilah remaja
Istilah remaja merujuk kepada penggunaan bahasa dalam kalangan remaja yang menggunakan bahasa mereka sendiri semasa berkomunikasi di antara remaja. Penggunaan istilah seperti sengal, poyo, senget, der, belo dan sebagainya seperti sudah menjadi makanan ruji dalam percakapan mereka seharian.
Emotikon
Emotikon ialah ikon atau simbol tertentu yang mewakili pelbagai ekspresi wajah atau emosi yang dibentuk daripada kombinasi tanda baca dan huruf tertentu yang terdapat pada papan kekunci komputer atau telefon mudah alih. Ada beberapa emotikon umum yang sering digunakan dalam komunikasi siber ini. Contohnya seperti dibawah:
Makna Emotikon :
:-) Gembira
:-P Mengejek
:-( Sedih
;-) Bergurau atau kenyit mata
:-o Terkejut
:- Marah
:’( Menangis
:- Bosan atau tidak peduli
:-D Ketawa
-o Menguap
Emotikon tersebut umumnya terdiri daripada tiga bahagian wajah, yang mewakili bahagian mata (tanda titik bertindih atau titik koma), hidung (tanda pembuka kurungan, penutup kurungan), dan mulut (tanda pembuka kurungan, penutup kurungan, atau huruf tertentu). Selain itu, muncul pula kepelbagaian emotikon yang bukan sahaja menggambarkan ekspresi wajah manusia, tetapi juga bentuk lain, seperti haiwan, bunga, simbol ucapan tertentu, dan ekspresi perasaan (cinta, sayang atau marah).
Kaomoji
Kaomoji pada peringkat awalnya, merupakan emotikon yang berkembang dalam komunikasi siber di Jepun. Tidak seperti emotikon lainnya, kaomoji cenderung lebih mudah difahami oleh penutur kerana menggunakan tanda baca atau huruf yang sangat umum.Walau bagaimanapun, kaomoji tetap berfungsi sebagai medium komunikasi yang akan mewakili ekpresi perasaan penutur yang digambarkan melalui simbol. Dalam situasi ini, penyingkatan tetap wujud dan kaomoji digunakan untuk menyatakan keadaan emosi tertentu seseorang ketika berhubung.
Kaomoji Makna:
(^_^) Gembira
(-_-;) Sedih atau menangis
(T_T) Merajuk atau kecewa
(^@^) Bangga atau senang hati
(-_-)y Menelefon atau minta dihubungi
Perkataan atau istilah khusus untuk mewakili perasaan, digantikan dengan simbol tertentu untuk memudahkan komunikasi kerana dunia siber itu sendiri berorientasikan imej segera, cepat dan mudah, tanpa mengambil kira kedudukan penggunaan bahasa, khususnya bahasa Melayu.
Bahasa basahan
Menurut Kamus Dewan edisi Keempat, basahan membawa makna sesuatu perkara yang sudah menjadi kebiasaan. Malah, penggunaan perkataan basahan sendiri dalam peribahasa membawa takrifan sesuatu perkara yang sudah menjadi kebiasaan berbuat sesuatu perbuatan yang tidak baik. Biasanya, bahasa basahan yang digunakan ialah bahasa pasar, dialek, dan bahasa yang bercampur. Jadi, dalam pencemaran bahasa di alam siber ini, bahasa basahan merupakan penggunaan bahasa seharian atau bahasa pasar yang sepatutnya merupakan satu kesalahan, tetapi masyarakat tidak lagi menganggapnya sebagai satu kesalahan kerana sudah menjadi kelaziman bagi mereka.